Pelabur runcit tempatan masih menjauhi amanah pelaburan REIT
PETALING JAYA 14 Ogos - Pelabur runcit tempatan masih menjauhi amanah pelaburan hartanah (REIT) walaupun ia menawarkan pulangan yang agak tinggi berbanding beberapa instrumen pelaburan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Axis REIT Managers Bhd., Stewart LaBrooy berkata, malah sebilangan besar pelabur runcit tidak memahami mengenai REIT dan kini secara majoriti peserta pasaran adalah pelabur institusi.
Menurutnya, menerusi REIT kini individu boleh melabur dalam hartanah yang memerlukan pelaburan yang besar seperti kompleks membeli belah dan bangunan pejabat.
”Pelabur tidak perlu risau tentang penyelenggaraan dan kutipan sewaan bangunan berbanding jika mereka melabur dengan membeli hartanah itu sendiri.
”Ia juga sesuai untuk mereka yang merancang (sumber kewangan selepas) persaraan kerana pelaburan dalam REIT memberi pulangan yang konsisten dan tinggi,” katanya pada taklimat media mengenai pameran bergerak MReit Investor Outreach di sini hari ini.
MReit Investor Outreach yang akan memberi penerangan mengenai pelaburan REIT pada Sabtu ini di Hotel Hilton Petaling Jaya, di sini.
Pameran bergerak itu ditaja dan disertai oleh AM ARA REIT Managers Sdn. Bhd., AmanahRaya-JFM Asset Management Sdn. Bhd., Axis REIT Managers Bhd., CIMB Investment Bank Bhd. dan Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB).
UTUSAN
